Sunday, December 30, 2012

::2012::Dalam Kenangan::

Assalamualaikum wbt.

Salam sejahtera!

Esok hari terakhir untuk tahun 2012. Seperti yang Anis janjikan dalam entry sebelum ini, Anis ingin recap atau mengenang kembali kenangan-kenangan manis yang berlaku sepanjang tahun 2012.

Sesungguhnya, tahun 2012 merupakan tahun yang agak bermakna buat Anis, di mana pada tahun ini Anis telah menjadi seorang yang lebih baik dan lebih matang berbanding tahun-tahun sebelumnya. Buat pengetahuan, pada tahun ini, Anis berusia 23 tahun. Muda lagi... Apa yang istimewa pada tahun ini ialah tarikh lahir Anis membentuk nombor yang menarik iaitu 21.9.12. Anis sangat suka dengan susunan tarikh yang cantik ini!

Pada awal tahun 2012, Anis berada dalam semester kedua-tahun ketiga pengajian di IIUM Kuantan. Seingat Anis, semester itu tidak banyak sangat perkara yang membuatkan hidup Anis bahagia. Biasa-biasa sahaja. Namun, bermula pada bulan 9, Anis telah menjadi pelajar tahun terakhir di IIUM Kuantan. Seniorlah katakan! Itu bermakna, Anis akan grad pada tahun hadapan. Alhamdulilah, bagi Anis, semester inilah yang paling seronok buat Anis! Pelbagai kenangan-kenangan manis yang Anis alami dan akan ceritakan satu persatu selepas ini.

Pertama sekali, Anis bersyukur kerana Anis telah memilih concentration study 'Environmental Health'. Anis tidak menafikan concentration yang lain juga best, tetapi Anis rasa inilah concentration yang paling sesuai untuk Anis. Pada permulaan semester, Anis berharap sangat untuk menjadi cemerlang pada tahun terakhir di IIUM Kuantan untuk kepuasan diri Anis sendiri. Anis merasakan semangat dan harapan Anis semakin membara kerana 'Environmental Health' sangat sesuai dengan jiwa Anis. Anis tak rasa susah dan enjoy sangat belajar tentang environment. Anis yakin, kali ini Anis mampu buat yang terbaik untuk final exam semester ini. InsyaAllah, semoga Allah mempermudahkan urusan Anis!

Kedua, Anis gembira sebab 'best friend' Anis yang juga merupakan roommate Anis, Izzah juga mengambil concentration yang sama. Apa lagi yang lebih bahagia duduk berjauhan dengan keluarga, kalau bukan mempunyai seorang kawan, teman yang boleh diharap, boleh bekerjasama, serta boleh memberikan sokongan sebagai ganti kepada adik-beradik. Anis rasa sangat beruntung berkawan dengan Izzah! Terima kasih, Izzah! Anis mesti rindu kat Izzah nanti, sebab banyak sangat kenangan suka-duka bersama Izzah selama 4 tahun di Kuantan. Antara kejayaan yang paling besar bersama Izzah ialah sewaktu membuat assignment Basic Environmental Laws! Alhamdulilah, gandingan kami berdua membuahkan hasil yang memberangsangkan dan memuaskan! 

Pada tahun ini juga, Anis pergi melawat ke Putrajaya seorang diri, menjadi traveller. Sebelum ini, Anis tak pernah pergi mana-mana seorang diri kecuali jika ingin balik ke hostel daripada rumah atau sebaliknya. Seronok! First time Anis menaiki KLIA Transit. Pengalaman baru yang menarik! Sebenarnya, Anis pergi ke Putrajaya sebab bestfriend Anis masa di MRSM dulu, Atiqah, tinggal di sana. Dialah yang bawa Anis jalan-jalan di sekitar Putrajaya. Semester ini juga Anis dapat berjumpa semula roommate-roommate Anis semasa di CFS, IIUM dahulu. Setelah 4 tahun, baru dapat meluangkan sedikit waktu bersama mereka: Lia, Amy, dan Mima. 

Pada tahun ini juga, Anis menjalani latihan industri ketika short semester pada bulan Jun hingga Ogos. Apa yang seronok ialah, Anis dapat membuat latihan industri di Hospital Temerloh (HOSHAS) yang dekat dengan rumah Anis. Yang paling seronok, kawan-kawan Anis yang rapat dengan Anis iaitu Izzah dan Elyna juga buat praktikal di HOSHAS. Seronok dapat pergi 'kerja' dengan kawan-kawan sendiri. Anis duduk bersama dengan Izzah dan Elyna bersama 2 orang lagi kawan sekelas iaitu Akma dan Anis (eh, jangan konfius-nama sama) walaupun rumah family dekat. Jadi, inilah pertama kali Anis duduk rumah sendiri -- memasak dengan kawan-kawan dan sebagainya. Semasa praktikal di HOSHAS juga, Anis dapat mengenali kawan-kawan daripada IPT yang lain. Anis juga menempuh bulan puasa bersama kawan-kawan serumah. Ada kalanya, kami pergi ke bazar, ada kalanya, kami memasak, dan kadang-kadang kami beli di kafe Hospital. Anis juga dapat berjalan-jalan di Temerloh dan Mentakab bersama mereka. 

Semasa praktikal juga, Izzah pernah datang tidur ke rumah family Anis sebab Izzah orang Perlis, jauh sangat dia nak balik rumah dia. Jadi, dia ikut Anis balik rumah. Waktu itu, kami diberi cuti 4 hari. Best! Dapat tidur sebilik dan sekatil dengan Izzah. Anis kan anak perempuan tunggal, jadi sangat jarang tidur sekatil dengan orang lain. Sekali ada kawan, memang bahagia sangat rasanya! Dapatlah Izzah menikmati masakan Ibu Anis yang paling istimewa iaitu, Gulai Tempoyak Ikan Patin. Elyna, Akma dan Anis (kawan) pun pernah makan ikan patin di rumah Anis. Sedaaap! Kalau tak percaya, jemputlah datang rumah. Tapi, kena beritahu Anis terlebih dahulu, tau! 

Sebagai pelajar tahun akhir, Anis perlu buat Final Year Project (FYP). Anis masih ingat peristiwa semasa Anis dan kawan-kawan perlu memilih supervisor dan tajuk FYP kami. Untuk FYP, Anis kurang berminat untuk membuat eksperimen di dalam makmal sebab Anis kurang mahir. Sebaliknya, Anis lebih berminat untuk melakukan survey atau kajian penduduk. Anis memang suka subjek Epidemiology dan Biostatistics. Salah seorang lecturer yang mahir dalam bidang ini ialah Dr. Nor Azlina A. Rahman. Jadi, Anis memang nak sangat buat FYP dengan beliau. Anis siap buat solat hajat lagi supaya berjaya mendapatkan beliau sebagai supervisor

Pada hari senarai tajuk FYP dikeluarkan, Anis dan kawan-kawan terlewat sedikit pergi ke Kulliyyah. Kami sudah risau jika orang lain sudah memilih tajuk-tajuk dan supervisor-supervisor yang best-best. Ada sesetengah student yang menunggu di hadapan Office Department untuk berebut tajuk FYP sejak awal lagi. Namun, kata orang, takkan lari gunung dikejar! Setibanya kami di Department, Anis lihat sudah ramai kawan-kawan yang berlonggok di hadapan office. Tiba-tiba, seorang lecturer datang dan berkata, "Kamu semua buat apa di sini? Senarai tu ada di sebelah sana." Sebaik mendengar lecturer tersebut berkata demikian, semua orang berlari menuju ke board yang di sebelah sana. Anis bersyukur sangat sebab Anis berada di belakang tadi, tapi bila berpusing, Anis antara yang pertama! Anis terus menuju ke board tersebut dan Anis terus nampak nama Dr. Azlina. Anis membaca senarai tajuk di bawah nama beliau, dan salah satunya ialah denggi. Alhamdulilah! Anis memang sangat berminat dengan denggi. Maka, tanpa lengah sambil bertahan daripada asakan manusia lain di belakang Anis, Anis terus sign di sebelah tajuk tersebut. Anis memang sungguh berpuas hati mendapat supervisor dan tajuk yang Anis suka. Yahoo! 

Pada tahun ini juga, Anis, buat kali pertamanya menang giveaway. Anis tak pernah pun menyertai mana-mana giveaway sebelum ini. Tapi, kali pertama Anis menyertai, tidak sangka Anis berjaya. Memang bersyukur, sebab tahun ini Anis banyak kali bernasib baik. Alhamdulilah, bersyukur sangat atas segala nikmat yang Allah beri. ^_^

Buat pertama kalinya juga dalam hidup Anis, Anis bermekap! Anis sendiri macam tak percaya. Tetapi, Anis memang teringin sangat untuk melihat muka Anis setelah dimekapkan. Hihi. Jurumekap Anis ialah Ika, kawan sekelas Anis. Mula-mula Anis tengok cermin lepas mekap, Anis tak kenal muka sendiri. Tapi, Anis berpuas hati sebab Ika memang pandai mekapkan. Anis rasa keyakinan diri Anis lebih tinggi selepas itu. Mungkin Anis ingin belajar untuk bermekap selepas ini dengan niat untuk kelihatan lebih matang, menarik dan berkeyakinan. Namun, Anis masih tidak berminat dengan mekap yang tebal dan melampau. Cukuplah sekadar yang natural dan sederhana. =)

Tahun 2012, Anis rasa Anis telah menjadi seorang yang lebih yakin dengan diri sendiri. Anis sentiasa mahu menjadi lebih baik. Anis ingin menjadi seorang yang berjaya, bukan sahaja di dunia, bahkan juga di akhirat kelak. Anis ingin menyeimbangkan usaha Anis untuk dunia dan akhirat. InsyaAllah!

Azam tahun 2013 Anis sudah semestinya untuk menjadi wanita yang lebih baik dan berjaya. Anis berharap, Anis akan grad dengan cemerlang. Anis juga ingin menghasilkan thesis yang terbaik! Anis ingin menyiapkan FYP Anis pada masanya. Anis juga berharap akan bertemu dengan jejaka budiman yang sudi menerima Anis seadanya. Anis ingin menjadi seorang isteri dan ibu yang solehah. InsyaAllah, mudah-mudahan Allah mempermudahkan... =) 

p/s: Blog ini juga adalah sesuatu yang istimewa berlaku pada tahun ini. Diari Anis telah mula ditulis sejak 31 Julai 2012! Syukur, Alhamdulilah! 

Jumpa lagi tahun hadapan! InsyaAllah... ^_^

3 comments:

  1. salam.. boleh tak sy nak tau fyp awak buat tajuk denggi tu mcm mana ya? secara detail.. sbb sy pon ada projek pasal denggi.. harap tak kisah nak share.. ni email saya.. ieykin_luv@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. ececeh.berharap berjumpe gan jejaka budiman ye.hehe..so da jmpe ke ni?=p
    nmpknye azam2 yg len tu kne trskn lg la ye.berusaha sunguh2 ye.hee..=)

    ReplyDelete

Anis sedia terima komen daripada kawan-kawan. Terima kasih! ;)