Selamat petang!
Hari ini, Anis ingin berkongsi mengenai makna dan penggunaan istilah atau perkataan bahasa Arab iaitu "InsyaAllah" dan "MasyaAllah".
Baru-baru ini, Anis mencari maksud perkataan "MasyaAllah" di Internet. Anis jumpa maksud dan penggunaan perkataan "MasyaAllah" yang dikatakan tidak betul penggunaannya di kalangan masyarakat Melayu. Kebanyakan orang akan mengucapkan "MasyaAllah" jika ada sesuatu perkara yang kurang menyenangkan berlaku.
Bagi Anis, tidak ada salahnya jika ucapan "MasyaAllah" juga disebut apabila ditimpa kemalangan atau menerima berita yang tidak baik. Sebab, setiap perkara yang berlaku dalam dunia ini berlaku hanyalah dengan ketentuan dan keinginan Allah.
Di sesetengah blog, ada mengatakan maksud "MasyaAllah" ialah Allah Yang Maha Agung. Anis tidak pasti sama ada betul atau tidak maksud itu. Tetapi, Anis ada berasa sedikit ragu-ragu. Wallahu'alam. Mungkin ada sesiapa yang lebih arif berbahasa Arab boleh berkongsi maksud sebenar "MasyaAllah" jika ditranslate ke Bahasa Melayu.
Tetapi, hari ini Anis telah mendapat suatu ilham untuk membaca tafsir Al-Quran. Subhannallah, Alhamdulilah, syukur...Anis terjumpa beberapa ayat yang memberikan lebih kefahaman kepada Anis tentang maksud dan penggunaan "InsyaAllah" dan "MasyaAllah".
Maksud dan penggunaan "InsyaAllah" dan "MasyaAllah" telah difirmankan Allah dalam Surah Al-Kahfi.
Ayat 23: Dan janganlah sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, "Aku pasti melakukan itu besok pagi"Menurut riwayat, ada beberapa orang Quraisy bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang roh, kisah Ashabul Kahfi (penghuni gua) dan kisah Zulkarnain lalu baginda menjawab, datanglah esok pagi kepadaku agar aku ceritakan kepadamu. Dan baginda tidak mengucapkan "InsyaAllah" (yang bermaksud jika Allah mengkehendaki). Tetapi sampai keesokkan harinya, wahyu terlambat datang untuk menceritakan hal-hal tersebut dan Nabi tak dapat menjawabnya. Maka, turunlah ayat 23-24 Surah Al-Kahfi, sebagai pelajaran kepada Nabi; Allah mengingatkan bilamana Nabi lupa meyebut "InsyaAllah", haruslah segera menyebutkannya kemudian.
Ayat 24: kecuali (dengan mengatakan), "InsyaAllah". Dan ingatlah kepada Tuhanmu apabila engkau lupa dan katakanlah, "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku yang lebih dekat (kebenarannya) daripada ini."
Justeru, apa yang Anis faham daripada 2 ayat ini, kita perlu mengucapkan "InsyaAllah" yang bermaksud 'jika Allah mengkehendaki', apabila kita ingin membuat satu perancangan. Ini disebabkan kita sebagai manusia hanya merancang, tetapi Allahlah yang akan menentukan. Perancangan yang kita buat hanya akan menjadi apabila Allah mengkehendaki perkara itu terjadi.
Ayat 39: Dan mengapa ketika engkau memasuki kebunmu, engkau tidak mengucapkan "MasyaAllah, La quwwata illa billah" (Sungguh, atas kehendak Allah, semua ini terwujud, tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah), sekalipun engkau anggap harta dan keturunanku lebih sedikit daripadamu.Bagi perkataan "MasyaAllah" pula, apa yang Anis faham ialah, seandainya kita dikurniakan sesuatu nikmat, keistimewaan atau kebesaran, kita perlu mengakui bahawa segala yang kita perolehi itu adalah atas kehendak Allah. Tanpa pertolonganNya, kita tidak akan mampu untuk memiliki apa-apa pun. Maka, kita perlu mengucapkan "MasyaAllah" selain bersyukur kepada Allah dengan mengucapkan "Alhamdulilah".
Oleh itu, jelaslah di sini, perkataan "MasyaAllah" tidak sesuai diucapkan tatkala kita melihat sesuatu perbuatan yang buruk. Sebaliknya, ucapan itu perlu digantikan dengan "Astaghfirullah" atau "Nau'zubillah". Hal ini kerana perkataan "MasyaAllah" adalah suatu ucapan yang memuji Allah. Sungguh tidak wajarlah kita mengaitkan perbuatan yang buruk itu dengan Allah Yang Maha Suci. Namun, apabila berlaku bencana atau kemalangan yang kita tidak mampu elak, tidak salah untuk mengucapkan "MasyaAllah", yang bermaksud segala kejadian itu berlaku hanyalah dengan kekuatan dan kehendak Allah.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment
Anis sedia terima komen daripada kawan-kawan. Terima kasih! ;)