Wednesday, October 17, 2012

Hoore! Hoore!

Assalamualaikum.

Alhamdulilah, hari ini Anis lebih ceria berbanding beberapa hari yang lalu. Entahlah mengapa mood agak swing sikit dua, tiga hari lalu. Asyik rasa nak mengeluh saja. Jadi, Anis telah menghabiskan waktu dengan menonton beberapa buah filem untuk menggembirakan hati yang gundah-gulana. 

Semalam, Anis menonton sebuah filem tempatan yang Anis rasa berbeza daripada filem-filem yang cliche di Malaysia ni. Anis rasa sangat seronok menonton filem tersebut. Jalan ceritanya santai, ada banyak pengajaran, sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya remaja tanpa mengira kaum. Lebih utama, filem ini ialah sebuah filem muzikal, yang mendendangkan lagu-lagu arwah Sudirman. 



Tajuk filem ini ialah "Hoore! Hoore!" arahan Saw Teong Hin. Filem ini telah ditayangkan di pawagam sejak 24 Mei 2012. Antara barisan pelakon popular yang membintangi filem ini ialah Adibah Noor, Harun Salim Bachik, Fauziah Nawi, Akim AF7, Kilafairy dan tak ketinggalan Pak Nil!! 

Sinopsis tentang filem ini boleh dibaca di sini. Pengajaran-pengajaran yang dibawa oleh filem ini ialah:

1. Keyakinan tentang diri-sendiri.

Dalam kisah ini, Aiman seorang gadis yang mempunyai tubuh badan yang gempal dan selalu diejek oleh kawan-kawan. Namun, neneknya selalu memberikan semangat dan nasihat supaya dia berkeyakinan pada dirinya sendiri. Sehinggakan neneknya menyokong Aiman untuk menyertai Pertandingan Ratu Idola sehingga ke peringkat akhir. Berkeyakinan terhadap diri sendiri ialah satu nilai yang perlu diamalkan oleh setiap remaja. Kita perlu berasa yakin dengan diri sendiri tanpa kita perlu menjadi orang lain. Tidak semestinya jika kita berbeza dengan orang lain, bermakna kita tidak bagus. Mungkin sebenarnya kita lebih baik daripada orang lain tapi kita sendiri yang gagal membuktikannya. 

2. Tidak melupakan asal-usul agama dan bangsa.

Tindakan Aiman menyertai Pertandingan Ratu Idola pada asalnya ditegah oleh ibunya kerana pada pendapat ibunya, perbuatan itu telah menjatuhkan maruah diri Aiman sendiri dan keluarga mereka. Tambahan pula, Aiman merupakan seorang gadis yang bertudung. Memang benar, menyertai pertandingan-pertandingan sebegitu sepatutnya tidaklah menjadi satu impian buat para remaja kerana dari sudut agama, kecantikan diri itu bukanlah sesuatu yang perlu dipertontonkan di khalayak ramai. Kecantikan diri yang dimiliki bukanlah untuk dipertandingkan kerana yang berhak untuk mendapat pujian atas kecantikan yang dimiliki tersebut hanyalah Pencipta Yang Maha Agung iaitu Allah SWT. Seharusnya, apabila kita dikurniakan rupa paras yang cantik dan tubuh badan yang sihat, kita bersyukur kepada Allah dengan mengucapkan Alhamdulilah dan menjaga aset diri kita daripada menjadi tatapan orang ramai. Kenapa? Kerana bagi perempuan terutamanya, aset-aset tersebut ialah aurat yang wajib ditutup daripada pandangan orang lain. 

3. Menghormati ibu-bapa dan guru.

Dalam cerita ini, nilai ini menjadi tunjang dalam kehidupan Aiman dan Johari. Walaupun Aiman selalu buat hal, tetapi dia ialah seorang anak yang sangat akur dan baik kepada kedua ibu-bapanya. Begitu juga Johari. Walaupun Johari berbeza pendapat dengan ayahnya, namun dia tidak pernah memberontak dan bertindak kurang ajar dengan ayahnya. Macam mana dengan remaja hari ini? Adakah ibu-bapa dan guru dihormati atau sebaliknya? Seharusnya, sebagai anak, kita perlu menghormati ibu-bapa dan guru-guru agar kehidupan kita lebih diberkati. Ini kerana redha Allah bersama dengan redha ibu-bapa. Doa seorang ibu, bapa dan guru adalah antara doa-doa yang dimakbulkan oleh Allah. So, janganlah asyik nak memberontak. Apa pun nasihat yang diberi oleh ibu-bapa dan guru adalah semata-mata untuk kebaikan kita. 

4. Nilai persahabatan.

Dalam cerita ini, Aiman mempunyai 2 orang sahabat baik iaitu Lana dan Azadan. Mereka selalu pergi ke sekolah bersama-sama dan segala suka-duka dikongsi bersama. Walaubagaimanapun, sejak Aiman menyertai Pertandingan Ratu Idola, Lana dan Azadan semakin menjauhkan diri daripadanya. Apabila Aiman cuba untuk menghubungi mereka, mereka tidak mahu menjawab panggilan Aiman dan tidak mahu bertemu Aiman. Kata nenek Aiman, kawan yang sejati itu tidak akan berubah walau apapun yang terjadi. Di saat-saat akhir ketika Aiman ingin memasuki pusingan akhir pertandingan selepas nenek Aiman telah meninggal, Lana dan Azadan meminta maaf daripada Aiman dan membantu Aiman untuk meneruskan perjuangannya di peringkat akhir.  

5. Menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Walaupun Johari memendam perasaan terhadap Aiman, namun dia tidak pernah mengajak Aiman untuk keluar berdua-duaan dan melakukan perbuatan yang sumbang. Hal ini selalu disalah erti oleh para remaja kerana terlalu mengikutkan perasaan dan terpengaruh dengan budaya sekeliling. Percintaan antara lelaki dan perempuan tidak perlu dibajai dengan perbuatan-perbuatan yang haram seperti berdua-duaan dan sebagainya. Sebaliknya, bagi lelaki, seandainya dia jatuh cinta kepada seorang gadis, seharusnya dia berusaha untuk memperbaiki diri dan mempersiapkan diri sebelum dirinya betul-betul layak untuk menjadi seorang suami kepada gadis yang disukainya. Bukan dengan menjatuhkan maruah gadis tersebut dengan membawanya ke mana sahaja tanpa mempunyai ikatan yang sah, apa lagi untuk menyentuhnya. Bagi si gadis pula, fikirlah dahulu tentang diri sendiri sebelum menerima cinta palsu lelaki yang hanya akan merenggut kesucian hati seorang gadis. Berilah cinta hanya kepada yang benar-benar berhak memilikinya iaitu seorang suami yang sah. 

Mungkin banyak lagi nilai-nilai lain yang boleh diambil pedoman melalui filem ini. Anis ingin menyarankan kepada semua kawan-kawan, adik-adik dan para remaja untuk menonton filem ini. Di samping itu juga, kita dapat mendengar semula lagu-lagu Sudirman yang sungguh mengusik jiwa. Antara lagu-lagu yang dinyanyikan ialah:

1. Bercanda Di Pasiran Pantai
2. Hoore! Hoore!
3. Pelangi Petang
4. Balik Kampung
5. Basikal Tua
6. Salam Terakhir
7. Anak Gembala
8. Kasih
9. Milik Siapakah Gadis Ini
10. One Thousand Million Smiles
11. Terasing
12. Ayah Dan Ibu
13. Merisik Khabar

Antara banyak-banyak lagu, Anis suka lagu yang no. 13 tu... Mungkin lagu ini bertepatan dengan perasaan Anis beberapa hari ini. *smile*

Merisik Khabar

terkapar-kapar ku kelemasan

sakit dilabung ombak kerinduan 

di dalam tidur di dalam jaga 

diburu oleh mimpi yang serupa 

mengapa aku jadi tidak menentu keranamu

ku menyusuri jalan berliku

membiarkan hari-hari berlalu

tiada salam tiada pesan

memaksa diri untuk melupakan

namun wajahmu bermain di mataku tiap waktu 

malamku suram siangku kelam

ku kegelisahan

mencari-cari ke mana pergi 

harga diri ini 

bertanyakan berita 

merisik khabar

mendengar cerita 

melaluinya kau kuhampiri tiap hari

bersama luka di hati

1 comment:

Anis sedia terima komen daripada kawan-kawan. Terima kasih! ;)