Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Salam Tahun Baru!
Sudah lama rasanya Anis tidak menulis di blog ini untuk menceritakan perkembangan diri Anis. Kali ini Anis berkesempatan untuk menulis. Jadi, Anis akan menceritakan sedikit sebanyak update tentang diri Anis.
Bagi yang pernah membaca Diari Anis ini dan mungkin mengikuti perkembangan diri Anis, juga seperti yang Anis nyatakan dalam post terdahulu di awal tahun 2015 ini, Anis adalah seorang mahasiswi dan isteri. Namun, sejak bulan Mei yang lalu, Anis telah sekali lagi berubah status menjadi seorang isteri dan bakal ibu - bukan lagi seorang mahasiswi.
Segalaya berdasarkan takdir Ilahi yang telah menentukan yang terbaik untuk Anis. Alhamdulilah, Anis bersyukur dan redha dengan ketentuanNya. Anis tidak lagi mampu untuk bergelar seorang mahasiswi buat masa terdekat ini. Namun, syukur ke hadrat Ilahi pada bulan Julai yang lalu, Anis telah disahkan hamil dan akan menjadi seorang ibu.
Dalam blog Anis ini, memang ada Anis coretkan mengenai perjalanan Anis melanjutkan pelajaran di peringkat Master. Agak menyenangkan kerana Anis dapat banyak feedback daripada mahasiswa dan mahasiswi yang juga berminat untuk melanjutkan pelajaran. Ada juga yang memberi kata-kata semangat dan ucapan maju jaya untuk Anis. Terima kasih kepada semuanya!
Memang agak sayang sebenarnya apabila Anis menamatkan pengajian. Iyalah, bukan senang untuk mendapat peluang keemasan sebegitu. Tetapi, keputusan itu telah dibuat secara sukarela oleh pihak Anis sendiri atas alasan-alasan yang tertentu. Rasanya, Anis tidak mahu untuk memberitahu apakah alasan-alasan tersebut. Biarlah ia menjadi hal peribadi Anis. Cuma, Anis ingin meluahkan bahawa Anis tidak malu untuk mengaku bahawa Anis tidak dapat menamatkan pengajian Master dengan jayanya kerana walaupun Anis belum memiliki sekeping Ijazah Sarjana, pengalaman selama setahun Anis bergelar seorang pelajar Master cukup berharga buat diri Anis. Anis juga percaya pada rezeki yang dikurniakan Allah. Mungkin ini belum masa yang sesuai untuk Anis memiliki Master. Mungkin suatu hari nanti, peluang yang sama akan terbuka untuk Anis. Seandainya tiada pun, pasti ada rezeki yang seumpamanya sekiranya Anis meneruskan usaha Anis dalam kehidupan ini.
Pada kesempatan akan datang, Anis berkeinginan untuk berkongsi tips-tips melanjutkan pengajian dalam mode research sama ada di peringkat Master atau PhD berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi Anis. Anis berharap, sekurang-kurangnya ada seseorang yang mendapat manfaat daripada hasil perkongsian Anis nanti. InsyaAllah.
Selamat menjalani tahun baru yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya! InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment
Anis sedia terima komen daripada kawan-kawan. Terima kasih! ;)