Wednesday, November 25, 2015

Perasaan MOMAZING! Kali Pertama

Assalamualaikum dan salam sejahtera!

Hari ini Anis ingin mencatatkan pengalaman Anis dalam proses menjadi seorang ibu. Anis telah selamat menjadi seorang isteri kepada insan yang teristimewa dalam hidup Anis, iaitu suami Anis pada 24 Oktober 2014. Memang Anis dan suami telah merancang untuk menimang cahaya mata sekurang-kurangnya setahun selepas kami berkahwin kerana sebelum ini Anis sedang menyambung pengajian. Jadi, Anis ingin fokus dengan pengajian sebelum memegang komitmen lain iaitu sebagai seorang ibu. Anis juga berniat ingin menyambut ulangtahun perkahwinan yang pertama berdua sahaja dengan suami dan ingin menyambut hari raya Aidilfitri yang pertama sebagai suami isteri juga berdua. Maknanya, kami berdua tidaklah terburu-buru untuk menimang cahaya mata. Mood honeymoon kami masih ada. Hehe. Namun, Anis dan suami berserah kepada takdir Ilahi. Seandainya kami cepat dapat anak pun, kami tetap bersyukur kerana kami yakin apa yang Allah tentukan, itulah yang terbaik.

Alhamdulilah, seperti yang dirancang, Anis dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri yang pertama sebagai suami isteri dan juga meraikan ulangtahun perkahwinan yang pertama bersama suami Anis berdua tanpa kewujudan cahaya mata lagi. Tetapi sebenarnya, Anis telahpun berbadan dua ketika menyambut kedua-dua peristiwa ini. Syukur Alhamdulilah..

Anis mula dapat tahu yang Anis hamil dalam bulan Ramadan tahun 2015 iaitu pada bulan Julai. Tanda-tanda yang ketara Anis alami ialah kerap muntah, bau tidak enak dan lemah badan. Selepas berbuka dan bersahur, mesti Anis akan muntah. Anis juga jadi tidak berselera makan. Tak boleh makan makanan bergoreng. Anis akan muntah apabila masuk toilet sebab Anis bau busuk sangat dalam toilet. Yang peliknya, orang lain tak bau pula. Puas Anis cuci toilet berkali-kali pun tetap ada bau. Selain itu, badan Anis lemah sangat sebab berpuasa dan selalu muntah. Waktu malam Anis akan tidur awal sebab badan sangat lemah dan tak bermaya.

Setelah hampir seminggu Anis mengalami tanda-tanda ini, Anis tergerak hati untuk buat ujian kehamilan sendiri yang popular dikenali sebagai Urine Pregnancy Test (UPT). Memang berdebar-debar semasa Anis buat UPT ini. Sebelum ini, Anis sudah buat 2 kali apabila period Anis datang lewat, tetapi keputusannya mengecewakan dan tak lama kemudian Anis akan period juga. Tarikh Anis buat UPT kali ini ialah pada 7 Julai 2015. Anis buat pagi-pagi sebelum solat subuh, tapi Anis tak terus tengok resultnya. Lebih kurang pukul 8 pagi, baru Anis masuk semula ke dalam toilet untuk tengok result UPT tadi dan Alhamdulilah positif! Memang tak dapat nak diluahkan kegembiraan pada masa itu. Anis begitu excited nak berkongsi dengan suami tetapi suami Anis masih lena kerana penat bekerja dan memandu jauh pada malam sebelumnya. Jadi, orang pertama yang Anis beritahu yang Anis hamil adalah ibu Anis sebab ketika itu Anis ada di rumah ibu bapa Anis di Temerloh dan Anis tak mampu nak sorokkan kegembiraan Anis ketika itu! Kemudian, barulah Anis kejutkan suami dan tunjukkan dia alat UPT itu. Dalam keadaan mamai, suami Anis macam tak percaya apa yang berlaku pada pagi itu. Hehe. Alhamdulilah, kami sangat bersyukur dan gembira. Maka, suami Anis pun terus ajak bersiap ke klinik untuk mengesahkan berita gembira ini.
Positif! 7.7.2015
Kami pergi ke Klinik Sulaiman Taman Temerloh Jaya yang dekat dengan rumah ibu bapa Anis. Kami ajak sekali ibu Anis untuk menemani kami. Sebaik sahaja masuk ke bilik doktor, doktor menjalankan ujian ultrasound yang lebih dikenali sebagai scan. Perasaan Anis ketika itu ialah MOMAZING!! Sebak rasa hati dan gembira tak terkata melihat degupan jantung baby buat kali pertama. Tak sangka ada insan lain yang bernyawa dalam rahimku ini. Alhamdulilah, syukur ya Allah...kami dikurniakan cahaya mata setelah hampir 9 bulan berkahwin. Namun, sebelum scan apabila doktor kira usia janin dengan menggunakan tarikh akhir Anis period, usia janin kami ialah 6 minggu. Tetapi, setelah scan, usia bayi kami sudah 10 minggu! Sudah lebih 2 bulan. Doktor pun beri tarikh due untuk bersalin pada 2 Februari 2016. Cantik tarikhnya. Kata doktor, usia janin mengikut mesin scan lebih tepat. Dan doktor tidak mengatakan ada apa-apa masalah. Cuma, ada sedikit kemusykilan dalam hati Anis. Macam mana boleh beza 4 minggu usia janin baby ikut tarikh last period dengan ikut scan? Bila sebenarnya Anis mula hamil? 

Maka, Anis pun membuat sedikit kajian untuk menjawab persoalan bilakah sebenarnya Anis mula hamil? Jika usia kandungan sudah 10 minggu, bermakna Anis mula hamil sejak akhir bulan April atau awal bulan Mei, sedangkan Anis ada period pada hujung bulan Mei. Namun, memang tak dinafikan period Anis ketika itu agak luar biasa sebab darah period Anis keluar sedikit-sedikit dan berlarutan selama 15 hari. Tempoh normal period Anis hanya selama 7-8 hari. Anis ada berjumpa doktor ketika itu pada 4 Jun 2015. Doktor scan rahim Anis tetapi doktor tidak mengatakan yang Anis hamil. Katanya, rahim Anis kosong tetapi sihat, tidak ada apa-apa ketumbuhan atau cyst. Padahal ketika itu sepatutnya kandungan Anis sudah lebih kurang 4-5 minggu. Mungkin ketika itu janin terlalu kecil dan tidak dapat dikesan oleh mesin scan tersebut. 

Cuma, Anis agak kecewa kerana Anis tidak tahu Anis hamil lebih awal. Namun, syukur Alhamdulilah.. kandungan Anis selamat dan tidak ada apa-apa walaupun Anis langsung tidak ambil langkah berjaga-jaga ketika awal kehamilan. Anis banyak melakukan aktiviti lasak, pergi bercuti dengan suami, panjat bukit dan macam-macam lagi. Pemakanan ketika awal kehamilan juga tak terjaga seperti Anis tak ambil asid folik lebih awal yang sangat penting untuk perkembangan janin dalam tempoh 3 bulan pertama. 

Tetapi, kalau kira usia janin atau tarikh dijangka bersalin (EDD) daripada period Anis yang sebelum itu, juga tak sama dengan usia janin atau tarikh yang diberi semasa scan. Tarikh akhir Anis period adalah pada 2 April dan hari pertama period ketika itu ialah pada 26 Mac. Pelik kan? Tapi ajaib, semuanya kuasa Allah...Alhamdulilah! Yang penting, Anis sudah bergelar IBU!!! 




No comments:

Post a Comment

Anis sedia terima komen daripada kawan-kawan. Terima kasih! ;)