Alhamdulilah!
Syukur ke hadrat Ilahi. Anis sudah sampai ke garisan penamat. Akhirnya, Anis telah selamat membentangkan thesis. Semuanya berjalan lancar (walaupun tidaklah sehebat mana). Anis amat berpuas hati dan bersyukur.
Mudah-mudahan, keputusannya memuaskan. Selepas ini, Anis perlu membuat pembetulan dan touch-up terakhir untuk thesis. Dalam seminggu lagi, insyaAllah, Anis akan pulang ke pangkuan famili Anis. Oh, tak sabarnya!!
Namun, berat juga hati untuk berpisah dengan kawan-kawan di 'Taman Budi & Ilmu' ini. Tetapi, itulah adat pertemuan, pasti ada perpisahan. Anis akur. Segala suka-duka, pahit-manis bersama kawan-kawan, tak mungkin Anis akan lupakan. Anis seronok mempunyai kawan-kawan yang baik. Walaupun tidak selalu bersama, namun mereka sentiasa ada di saat-saat diperlukan.
Indahnya kenangan menuntut ilmu dunia dan akhirat di IIUM! Rasa berat hati ingin meninggalkan 'taman' ini, di mana penghuninya adalah yang terbaik yang Anis pernah jumpa. Banyak ilmu yang Anis telah pelajari, yang Anis kutip, untuk menjadi bekalan menghadapi kehidupan yang mendatang. Di sinilah Anis mendewasakan diri, menjadi lebih matang, meluaskan 'worldview', menjadi lebih terbuka, dan sebagainya. Di sini jugalah saat Anis belajar untuk mengenal Allah dan Rasul, menjadi hamba yang lebih baik, dan terus berusaha untuk menjadi lebih baik.
Harapan Anis selepas ini adalah untuk menjadi seorang insan yang berguna kepada diri sendiri, ibu bapa, adik-adik, serta orang lain, terutamanya umat Islam. Ilmu yang Anis telah perolehi Anis akan gunakan sebaik-baiknya untuk kebaikan semua orang. Anis akan kongsikan yang baik juga yang buruk untuk dijadikan pengajaran dan iktibar.
Sudah tentu, Anis juga ingin memiliki sebuah keluarga yang bahagia. Seorang suami yang baik dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata dan hati. InsyaAllah! Mudah-mudahan, Allah kurniakan jodoh dan zuriat di kalangan orang-orang yang soleh. Amin...
Paling utama, Anis ingin membalas jasa Ibu dan Abah. Siapalah Anis tanpa kasih sayang dan pengorbanan mereka berdua. Alhamdulilah, syukur Anis mempunyai Ibu dan Abah yang tiada banding dan tandingnya di dunia ini! Anis akan cuba lakukan yang sebaik mungkin untuk mereka berdua. Jika mereka sedih, Anislah yang akan menangis untuk mereka. Jika mereka senyum, Anislah yang akan paling gembira untuk mereka. Mudah-mudahan, Allah permudahkan...
Jadi, insyaAllah, beberapa bulan lagi, Anis akan menghadiri Majlis Graduasi IIUM sebagai seorang graduan. Semoga Allah kurniakan usia, kesihatan, rezeki dan peluang untuk hadir semasa majlis tersebut. InsyaAllah!!
Jom Grad!!
p/s: "..rasa macam baru daftar semalam"...memang tipulah kan?!
"Lamanya 2 + 4 tahun, akhirnya, habis juga!"..yang ini baru betul, ikhlas dari hati..hehe
Selamat Malam! Jumpa lagi!